Beberapa berita akhbar kaitan ternakan..

Insentif tunai untuk penternak

Oleh Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my

Peruntukan RM213 juta galak pengusaha kecil tingkat bekalan makanan

RAWANG: Penternak lembu, kambing dan ayam di negara ini akan diberikan insentif berbentuk wang tunai berdasarkan jumlah pengeluaran, mulai bulan depan bagi meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos operasi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pemberian insentif yang difokuskan kepada pengusaha dan penternak kecil itu juga bertujuan meningkatkan bekalan bahan makanan rakyat menerusi Dasar Jaminan Bekalan Makanan.

Beliau menjelaskan, insentif berkenaan layak diterima individu mengikut kategori ditetapkan kerajaan iaitu memiliki kurang 20,000 ayam bagi penternak ayam dan semua pengusaha ternakan lembu serta kambing.

"Jumlah bantuan akan ditetapkan mengikut formula dirangka atau berdasarkan pengeluaran penternak berkenaan, Seperti contoh, bagi seorang penternak lembu yang mengeluarkan 50 liter susu sehari, mereka akan menerima bantuan kira-kira RM300 sebulan.

"Bagi lembu fidlot pula, mereka yang memiliki 30 lembu dengan keluasan ladang 100 ekar, jumlah bantuan bakal diterima mereka adalah berjumlah RM3,000 bagi tempoh tiga bulan," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke ladang penternakan kambing Boer milik Ar-Raudhah Farm Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin dan Pengerusi Ar-Raudhah, Datuk Bistamam Ramli.

Menerusi format pengiraan bagi menentukan jumlah bantuan, penternak lembu secara kecil-kecilan akan dibayar 19.59 sen bagi setiap liter susu dikeluarkan, manakala komersial pula sebanyak 6.55 sen.

Bagi lembu fidlot, kerajaan akan membayar RM1.12 kecil-kecilan) dan 75 sen (komersial) kepada pengusaha yang dikira berdasarkan pengeluaran.

Bagi penternakan lembu secara integrasi yang majoritinya dijalankan penternak di negara ini pula, kerajaan menetapkan setiap kilogram dikeluarkan penternak akan dibayar 60 sen (kecil-kecilan) serta 20 sen (komersial).

Sementara itu, bagi penternak kambing, pengusaha jenis kecil-kecilan akan menerima 90 sen dikeluarkan, manakala 30 sen bagi mereka yang menjalankannya secara komersial. Bagi ayam pula, pengusaha akan menerima 78 sen bagi setiap kali pusingan pengeluaran.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan memperuntukkan RM213 juta untuk tempoh enam bulan sehingga Disember ini bagi memberikan bantuan kepada penternak terbabit supaya mereka dapat mengeluarkan produktiviti seperti biasa.

"Kami memperolehnya daripada RM513 juta yang diperuntukkan khusus bagi menampung pemberian insentif empat komponen dalam Dasar Jaminan Bekalan Makanan yang sebelum ini nelayan serta penanaman sayur diumumkan jenis bantuan. Hanya padi belum diumumkan lagi," katanya.

RAWANG, 27 Julai (Bernama) -- Malaysia dijangka mampu mencapai sasaran menghasilkan sebanyak 25 peratus daging kambing tempatan menjelang 2015 berbanding cuma sembilan peratus sekarang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed. Beliau berkata sasaran itu adalah bagi mengurangkan penggantungan negara kepada daging kambing import. Pada masa sekarang kebanyakan daging kambing diimport dari Australia, New Zealand, China, Thailand dan Indonesia. "Hari ini negara cuma ada kira-kira 300,000 ekor kambing sahaja. Tahun 2015 kita nak tambah kepada 1.1 juta ekor kambing dan apa yang penting kita (kerajaan) nak swasta juga melabur dalam bidang ini (ternakan kambing)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan kambing Ar-Raudah di Kuang dekat sini, Ahad. Pada lawatan itu beliau turut menyampaikan sijil tamat kursus kepada seramai 24 orang peserta Program Kursus Pembangunan Usahawan (Ternakan Kambing) yang datang dari seluruh negara. Dalam masa yang sama, Mustapa berkata kerajaan juga akan mengumumkan insentif kepada penternak kambing bagi membantu meringankan beban mereka berikutan kenaikan kos bahan makanan ternakan seperti "pallet" (sejenis makanan kambing) selepas kenaikan harga bahan api pada 4 Jun lalu. Katanya dianggarkan lebih 21,000 penternak kambing di seluruh negara layak menikmati insentif itu yang akan diumumkan nanti. Sementara itu, beliau berkata bagi penternakan lembu, penternak lembu susu yang menghasilkan 50 liter susu sehari akan menerima bayaran insentif sebanyak RM300 sebulan manakala bagi penternak yang mempunyai 30 ekor lembu feedlot akan menerima sebanyak RM3,000 untuk setiap pusingan yang mengambil masa selama tiga bulan untuk satu pusingan. "Bagi penternak ayam pula, yang mempunyai ayam yang lebih daripada 20,000 ekor, mereka tak layak terima bantuan (insentif). Yang layak cuma kurang daripada 20,000 ekor ayam. "Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM513 juta insentif kepada pekebun sayur, akuakultur dan ternakan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM213 juta adalah untuk penternakan seperti ayam, kambing dan lembu," katanya. Pemberian insentif sebanyak RM81 setan juga akan diberi kepada petani yang terlibat dalam penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di seluruh negara dan seramai 70,000 nelayan laut dalam dan pesisir pantai juga akan menikmati insentif yang sama sebanyak RM200 sebulan dan dijangka menerimanya pada awal bulan depan. -- BERNAMA

No comments: