Bagi aku..inflasi ni maksudnya rakyat susah..itulah kesimpulan aku buat


Berita Utusan 1:
Inflasi naik hingga tujuh peratus bulan lalu
BASEL, Switzerland 1 Julai - Kadar inflasi negara telah meningkat kepada enam hingga tujuh peratus pada bulan lalu dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengenakan dasar monetari sekiranya berlaku peningkatan harga yang menyeluruh.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, kenaikan harga makanan dan bahan api telah meningkatkan inflasi Malaysia pada bulan Mei iaitu 3.8 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 22 bulan sebelum kerajaan meningkatkan harga minyak pada bulan lalu.

”Kami memang menjangkakan kadar inflasi akan meningkat terutama pada bulan Jun berikutan langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak.

”Berikutan itu, pada bulan Jun, inflasi mencapai kadar enam hingga tujuh peratus,” katanya.

Zeti menambah, faktor domestik termasuk pengurangan subsidi minyak dan persekitaran ekonomi luar yang lembap turut menyebabkan kadar pertumbuhan negara rendah pada tahun ini iaitu kurang lima peratus.

Bagaimanapun, tambah beliau, BNM akan memantau secara dekat, sama ada ia adalah hasil kenaikan harga barangan pengguna atau kesan kedua akibat kenaikan gaji dan bank pusat itu akan bertindak sekiranya ia mengakibatkan peningkatan harga menyeluruh.

Malaysia telah meningkatkan harga petrol sebanyak 41 peratus dan diesel 63 peratus bulan lalu.

Zeti berkata, dalam menentukan kadar faedah, bank pusat itu perlu melihat kesan kenaikan kadar inflasi serta faktor pertumbuhan sederhana domestik dan luar negara.

Sebelum ini, Zeti berkata bahawa BNM tidak bercadang untuk meningkatkan kadar faedah sekiranya inflasi menyusut pada pertengahan kedua, seperti yang disasarkan.

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Mei lalu telah mengambil keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.50 peratus.

Gabenor BNM itu berkata, kadar faedah adalah satu instrumen polisi bagi berhadapan dengan inflasi yang berpunca daripada permintaan.

”Polisi kadar inflasi melihat semua aspek. Kami akan melihat pelbagai risiko - peningkatan risiko kepada inflasi dan penurunan risiko kepada pertumbuhan yang disebabkan oleh persekitaran luar yang lembap dan impak kepada kenaikan harga bahan api,” ujarnya.

Mengulas mengenai spekulasi bahawa BNM akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 0.5 mata, Zeti berkata: ”Pasaran membuat penilaian berdasarkan kenaikan harga minyak dan ia tidak salah untuk menilai kerana kenaikan harga akan berlaku berdasarkan penyelarasan yang telah diambil”.

Zeti menambah, faktor yang menyebabkan kenaikan harga komoditi pula tidak jelas kerana ia boleh disebabkan rangka struktur atau bahan api dan komoditi yang menjadi kelas aset baru bagi kebanyakan pelabur institusi.

”Apabila pulangan dalam pasaran kewangan lain rendah maka pelabur akan mencari aset yang mampu menjana pulangan tinggi.

”Akibatnya, mana ada aset yang sesuai untuk semua polisi. Kita perlu mengikut konteks dan tidak boleh dilihat secara am dan pendekatan umum terhadap ekonomi,” kata beliau.

Zeti berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi negara adalah sebanyak lima peratus dan akan mengkaji semula sasaran itu pada bulan ini.

”Ia mungkin berada di tahap sederhana, di bawah lima peratus tetapi kami menjangka ekonomi negara terus kukuh kerana kepelbagaian ekonomi,” tambahnya.

- Reuters

Berita Utusan 2:
Bursa Malaysia ditutup rendah
KUALA LUMPUR, 1 Julai — Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dengan jualan berterusan, didahului oleh kerugian di kaunter berkaitan kewangan dan perladangan, kata para peniaga.

Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur susut 11.74 mata atau 0.99 peratus untuk ditutup pada 1,174.83 mata. Ia dibuka 1.42 mata lebih tinggi pada 1,187.99.

Seorang peniaga berkata kebanyakan peserta pasaran mengambil langkah tunggu dan lihat dan menantikan petunjuk baru.

Aseambankers Equity Research dalam nota penyelidikannya berkata para pelabur dijangka kekal tidak memasuki pasaran kerana bimbang akan tahap inflasi pada separuh kedua 2008 akan menjejaskan penggunaan domestik dan pendapatan korporat.

Indeks Perindustrian merosot 17.87 mata kepada 2,540.39, Indeks Kewangan turun 135.91 mata kepada 8,610.27 dan Indeks Perladangan berkurangan 70.39 mata kepada 7,854.54.

Daripada siri-siri Indeks FTSE-BM, FBM2BRD lebih rendah 144.49 mata kepada 5,391.10, FBMEmas turun 84.46 mata kepada 7,815.9, FBM30 susut 81.37 mata kepada 7,575.36 dan FBMMDQ lebih rendah 97.88 mata kepada 4,306.89.

Saham-saham rugi mengatasi saham untung dengan 471 berbalas 172, 240 kaunter tidak berubah, 516 tidak diniagakan dan 31 digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 340.095 juta saham bernilai RM759.792 juta daripada 370.536 juta bernilai RM965.351 juta semalam.

AirAsia, yang mendahului saham aktif, menokok lima sen kepada 92 sen.

Bumiputra-Commerce susut 40 sen kepada RM7.60, Resorts World lega tiga sen kepada RM2.57 dan Gamuda berkurangan satu sen kepada RM2.33.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga ditutup tidak berubah pada RM8.15, Sime Darby susut 10 sen kepada RM9.15, Maybank menambah lima sen kepada RM7.10 dan IOI Corp susut lima sen kepada RM7.40.

Jumlah dagangan di Papan Utama merosot kepada 289.527 juta saham bernilai RM741.972 juta daripada 313.925 juta saham bernilai RM947.280 juta pada hari Isnin.

Jumlah dagangan di Papan Kedua pula menokok kepada 19.576 juta unit bernilai RM13.481 juta daripada 15.794 juta unit bernilai RM11.132 juta semalam.

Di pasaran Mesdaq, jumlah dagangan susut kepada 15.370 juta saham bernilai RM3.676 juta berbanding 26.194 juta saham bernilai RM6.003 juta sebelumnya.

Waran-waran panggilan menokok kepada 15.621 juta saham bernilai RM663,643 daripada 14.623 juta saham bernilai RM936,710 pada Isnin.

Urus niaga langsung mengukuh kepada 53.096 juta unit bernilai RM63.752 juta daripada 13.513 juta unit bernilai RM13.320 juta semalam.

Berdasarkan sektoral, produk pengguna menguasai 13.279 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, produk perindustrian 27.531 juta, pembinaan 32.427 juta, urus niaga/perkhidmatan 94.212 juta, teknologi 3.705 juta, infrastruktur 12.353 juta, kewangan 37.800 juta, perhotelan 3.612 juta, hartanah 29.322 juta, perladangan 12.773 juta, perlombongan 6,000, REITS 1.439 juta, dana tertutup 77,200, ETF 30,500 dan pinjaman 20.961 juta.

-Bernama

No comments: