Betapa Peri Pentingnya Pertanian, Setuju kan?


UTUSAN 20 MEI 2008

Kepentingan sektor tani
Oleh ZAHARI MAN

Bayangkan apa akan terjadi dalam negara jika makanan tidak mencukupi dan rakyat kebuluran? Adakah bidang pertanian dan pemakanan negara kurang penting jika dibandingkan dengan bidang pertahanan dan keselamatan? Persoalan ini jarang timbul dalam perbincangan pemimpin dan ahli pemikir negara untuk merangka strategi jangka panjang dalam bidang pemakanan dan pertanian kerana masing-masing mengambil andaian bahawa negara ini tidak pernah diancam dengan suasana kebuluran atau rakyat tidak pernah mengamuk kerana tidak cukup makan. Tidak pernah berlaku adakah bermakna ia tidak akan berlaku? Sama seperti keadaan negara yang tidak pernah diserang musuh adakah merupakan jaminan bahawa serangan dari luar tidak akan akan berlaku? Adakah negara akan menunggu rakyat diancam kebuluran baru kerajaan akan memberi perhatian dan peruntukan besar bagi membangunkan bidang pemakanan dan pertanian? Jika dibandingkan peruntukan untuk bidang pertahanan dan keselamatan dengan bidang pertanian dan pemakanan, jelas menunjukkan perbezaannya. Pekerja pertanian sejak dari awal pembabitan mereka dalam kerja-kerja di sawah tidak pernah menjalani sebarang latihan. Mereka mewarisi sahaja kerja orang tua yang terdahulu dan tidak ada badan yang mengambil peduli tentang tahap kebolehan dan kebajikan mereka. Sebaliknya setiap anggota tentera akan menjalani latihan rekrut dan ketenteraan selama beberapa waktu dengan dibayar elaun, diberi tempat kediaman yang selesa dan menerima rawatan kesihatan percuma sepanjang latihan. Apabila anggota tentera tamat latihan mereka akan mula berkhidmat dengan dibayar gaji dan elaun, diberi tempat kediaman dan rekreasi, mendapat rawatan kesihatan dan khidmat sokongan yang sempurna, dihantar menjalani latihan kemahiran dan pengkhususan, anak-anak dan isteri mendapat perhatian dan kebajikan daripada pihak yang berwajib, mendapat waran tiket perjalanan untuk pulang bercuti beberapa kali setahun, dan akhirnya apabila sampai umur bersara mereka akan dapat pencen atau imbuhan tamat perkhidmatan. Seorang tentera mungkin tidak pernah merasai pengalaman berperang sepanjang tempoh berkhidmat tetapi dia tetap dibayar gaji penuh oleh kerajaan. Ini kerana pembabitannya adalah dikira sebagai menjaga kepentingan strategik negara yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit walaupun tarikan seseorang memasuki bidang ketenteraan adalah untuk mendapat gaji demi menyara keluarga dan anak isteri.

Pendapatan Seorang petani pula yang bertungkus lumus di sawah, berjemur panas sehingga kulit menggerutu, berendam dalam lumpur hingga berkarat kuku, berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu, makan dan rehat sekadar perlu, memakai pakaian lusuh hampir setiap waktu, namun pendapatan daripada hasil pertanian yang diperolehi pada akhir musim hanya cukup untuk membayar hutang pendahuluan atau menebus gadaian. Jika diri mereka atau anak isteri jatuh sakit mereka hanya layak mendapat layanan kelas tiga di hospital kerajaan atau menjalani rawatan tradisional sekadar untuk menahan sakit. Tidak ada istilah bersara, tidak ada pencen dan imbuhan perkhidmatan, tidak ada pembelaan dan kebajikan, dan tidak ada pihak yang bertanggungjawab mengambil berat tentang masalah dan kesulitan mereka. Petani hanyalah dianggap sebagai 'kelas hamba' dalam masyarakat untuk menyediakan pemakanan negara; tetapi mereka tidak pernah dianggap sepenting anggota tentera yang menjaga keselamatan negara.

Petani di negara maju, terutamanya yang terlibat dalam penghasilan makanan ruji, mendapat perhatian istimewa kerajaan kerana seluruh rakyat menghargai sumbangan besar petani terhadap kepentingan strategik negara.
Di Jepun umpamanya, petani yang menghasilkan padi dibayar imbuhan yang lumayan dalam bentuk subsidi pertanian sehingga empat kali ganda nilai hasil yang berjaya dikeluarkan. Ini bermakna jika petani menjual hasil tuaian mereka dalam pasaran dengan harga RM1,000, kerajaan membayar subsidi tambahan sebanyak RM4,000 sebagai imbuhan penghargaan ke atas usaha mereka menghasilkan makanan ruji negara. RM4,000 adalah belanja hangus yang kerajaan keluarkan untuk memberi dorongan kepada para petani supaya terus bertungkus lumus menghasilkan makanan asas rakyat.
Tambahan insentif 400 peratus yang diberi kepada petani tidak diambil kira oleh kerajaan untuk menentukan harga beras dalam pasaran negara. Ini adalah bayaran penghargaan kerana penglibatan para petani dalam menjaga kepentingan negara.
Rakyat tidak sepatutnya merasa cemburu atau merungut melihat petani menikmati hidup yang selesa atau mereka diberi perhatian istimewa oleh kerajaan. Kalau kerajaan mengambil pendekatan yang begini terhadap petani, barulah nampak jelas bahawa bidang pertanian dan pemakanan sangat penting kedudukannya dalam menyumbang kepada kepentingan strategik negara.
Di Amerika Syarikat pula selain insentif dan subsidi pertanian yang diberikan kepada para petani, tanah-tanah pertanian mendapat perhatian dan perlindungan khusus daripada kerajaan terutamanya dalam mempertahankan keluasan kawasan dan menjaga kesuburan tanah-tanah pertanian. Misalnya terdapat undang-undang negara itu yang melarang penggunaan racun-racun tertentu dan mengehadkan tempoh penggunaan tanah pertanian supaya sesetengah kawasan dapat direhatkan untuk tempoh tertentu bagi proses baik pulih kesuburan secara semula jadi sehingga dilihat seolah-olah tanah pertanian menjadi kawasan yang terbiar. Petani-petani akan mendapat bayaran pampasan dari kerajaan untuk menyara kehidupan mereka semasa tanah mereka terlibat dalam program pemulihan kesuburan.
SediaKerajaan mesti bersedia berbelanja besar untuk memberi imbuhan dan insentif kepada para petani, menyediakan latihan untuk meningkat kemahiran dan kecekapan mereka, membeli peralatan canggih yang diperlukan dalam perusahaan pertanian, menyediakan pembangunan prasarana, memperuntukkan perbelanjaan selenggaraan alatan dan prasarana pertanian, menambah kawasan pertanian sebagai aset strategik negara dan mempertahankan status tanah pertanian daripada ditukar kepada kegunaan lain. Kerajaan juga mesti mengambil peranan langsung dalam mengawal penghasilan dan menentukan penyimpanan stok makanan sentiasa mencukupi untuk berhadapan dengan apa saja kemungkinan sama ada perubahan cuaca atau konflik serantau yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan asas negara. Bahkan adalah amat tidak wajar pengurusan penyimpanan dan pengedaran makanan asas negara diswastakan kerana bidang ini berkait terus dengan keselamatan dan kestabilan sesebuah negara. Kementerian pertahanan dan pertanian adalah sama penting bagi sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka; oleh itu peruntukan dan perbelanjaan tahunan bagi kedua-dua kementerian ini mestilah mencerminkan status kementerian-kementerian tersebut sebagai penjaga kepentingan strategik negara. Dua aset utama pertanian iaitu pekerja pertanian dan kawasan tanaman hendaklah diberi perhatian khusus oleh kerajaan dari segi kebajikan dan kawalan sama seperti perhatian yang diberikan kepada anggota tentera dan kem-kem pertahanan negara

No comments: